
KUALA LUMPUR: Seekor kucing putih nyaris lemas akibat terperangkap hampir tiga jam dalam lubang saluran air di sebuah rumah di Alam Damai, Cheras semalam.
Mujur, tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat, (BBP) Cheras yang memecahkan lantai berjaya menyelamatkan nyawa si bulus ini.

Penolong Penguasa Bomba, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Logeswaran Lavan berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas menyelamatkan seekor kucing pada jam 11.21 pagi.
Enam anggota yang dikerah ke lokasi untuk operasi penyelamatan menemui seekor kucing terperangkap di dalam lubang saluran air.

Keadaannya sangat lemah dan tidak bermaya.
Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan haiwan ini.
Video usaha menyelamatkan si bulus ini, dikongsikan tuan rumah berkenaan, Zulkarnain Zakaria.
@buletintv3 Seekor kucing putih nyaris maut selepas terperangkap hampir tiga jam dalam lubang saluran air di sebuah rumah di Alam Damai, Cheras. #BuletinTV3 #BeritaDiTiktok #SiBulus #TerimaKasihBomba
Ia mendapat perhatian warga maya yang bersimpati dengan nasib si bulus itu selain berterima kasih kepada anggota bomba yang telah menyelamatkannya.
Difahamkan, kucing tidak bertuan itu sering diberi makan oleh Zulkarnain setiap kali ia memasuki rumahnya.
