comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan kes buang beras sudah lengkap – KPKT

Foto tular

KUANTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pembuangan beras, sardin dan tepung di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, pada 18 April lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau difahamkan kes itu sudah diserahkan ke Bahagian Undang-Undang kementerian berkenaan untuk dinilai keseluruhannya.

Dalam kes itu, katanya, kementerian berkenaan mahu memastikan segala tindakan yang dilaksanakan lengkap dan jika berlaku kesalahan, mereka yang terbabit tidak akan terlepas.

“Selepas daripada Bahagian Undang-Undang KPKT, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya kerana kuasa pendakwaan di bawah Peguam Negara.

“Semua siasatan sudah selesai, lengkap dan keterangan sudah diambil membabitkan antara tujuh hingga sembilan individu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Program Perumahan Rakyat Disewa Pinggiran Putra, hari ini.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Difahamkan, gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial Facebook dan Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Ia menyebabkan netizen memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengenai kejadian itu.

Berdasarkan gambar tular, ada pihak mengambil tindakan membakar barangan terbabit.

Susulan kes itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mengaku bertanggungjawab dan sangat menyesali perkara itu.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025, selain terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi kitaran.

“Justeru, amalan kitar semula 3R (reduce, reuse dan recycle) penting untuk meningkatkan kadar kitar semula dan perlu diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama yang membabitkan komuniti sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini