comscore
Tumpuan :
Nasional

Simposium Antarabangsa Malaysia Madani dalami kefahaman Islam Moderat

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani (tengah).

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi dunia tanpa sempadan selain berlaku salah faham terhadap ilmu agama ketika ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil menganjurkan Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024 dengan tajuk Islam dan Kesederhanaan sebagai topik perbincangan.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, Malaysia sebagai negara Islam perlu memberikan contoh tauladan yang baik di persada antarabangsa dalam menzahirkan konsep kesederhanaan yang dituntut agama.

Oleh itu, simposium berkenaan diadakan bagi mendalami kefahaman prinsip dan nilai Islam moderat yang menjadi asas kepada idea semasa tentang Islam dan kesederhanaan.

“Seperti mana yang kita tahu sekarang bahawa banyak salah faham ataupun prejudis tentang kefahaman kepada agama Islam.

“Kita ingin menyatakan bahawa Malaysia adalah satu tempat atau sebuah negara yang membincangkan ataupun memberikan tauladan memberikan contoh kepada Islam dan kesederhanaan.

“Kerana di dalam agama kita pun mengajar tentang kesederhanaan,” katanya di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara hari ini.

Tambahnya, panel dan speaker jemputan sepanjang dua hari simposium itu berlangsung merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

Justeru Datuk Sharifudin berkata, diharapkan dengan kepakaran serta ilmu yang dokingsi oleh tokoh jemputan berkenaan, peserta dapat mensintesiskan perkongsian mereka untuk dijadikan amalan kehidupan seharian.

Selain itu katanya, penyerapan ilmu daripada simposium itu juga diharapkan dapat membantu negara maju kehadapan dan memahami kehendak serta tuntutan Islam dalam kesederhanaan.

Kesederhanaan itu jelas beliau bukan sahaja dalam mengamalkan prinsip-prinsip yang dituntut agama, malah juga ditanam dalam pemikiran.

“Sebab dalam pemikiran kita ini yang akan mempengaruhi tingkah laku.

“Jadi sangat penting kita sebagai umat Islam, para sarjana yang kita jemput dapat berkongsi tentang amalan terbaik ilmu mereka bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat Islam khususnya macam di negara kita (yang hidup) dalam masyarakat majmuk.

“Bagaimana kita dapat bersifat inklusif dengan semua, sama ada Islam dan juga agama-agama lain, (agar) kita dapat hidup bersama aman damai tanpa prejudis dan diskriminasi,” katanya.

Tegasnya, Islam menganjurkan penganutnya hidup dalam aman damai dan menyantuni sesiapa sahaja sebagai manusia tanpa mengira latar belakang agama dan fahaman.

Beliau turut memaklumkan simposium berkenaan disertai seribu peserta pada hari pertama dan beliau menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia merebut peluang pada hari kedua, esok yang akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini