comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket jual LPG subsidi tumpas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Beli gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi sebelum dipindahkan ke tong LPG 50kg dan dijual kepada pihak industri dengan harga lebih rendah.

Itu modus operandi sindiket berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama di Mantin, Negeri Sembilan yang disyaki dijadikan stor haram bagi aktiviti penyelewengan LPG atau ‘decanting’ (pemindahan LPG).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan pada Selasa lalu oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya kira-kira jam 11 malam, hasil risikan selama dua minggu sebelum operasi.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang, Nilai, Mantin dan Broga. LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.

“LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa serbuan, seorang individu warganegara tempatan didapati sedang leka melakukan aktiviti pemindahan LPG berkenaan.

Lelaki yang berumur lingkungan awal 40-an itu yang mengaku sebagai pekerja premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 12kg, 14kg dan 50kg; kenderaan jenis lori 2.5 tan; alat penimbang pelantar elektronik; hos penyambung; telefon bimbit serta beberapa dokumen perniagaan lain turut disita.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta mengenal pasti rantaian pengedaran LPG terbabit.

Sabit kesalahan di bawah AKB 1961 boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Loading...
Terkini