comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes LCS : SPRM akan panggil lebih ramai individu termasuk kenamaan

 

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memanggil lebih ramai individu untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak menolak kemungkinan individu berkenaan membabitkan orang kenamaan.

Beliau turut menegaskan bahawa SPRM tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki beramah mesra bersama pegawai selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Negeri Johor, Tampoi. – FOTO: Nur Aisyah Mazalan.

“Kita mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan dan keterangan itu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan dari luar negara.

“Sesiapa sahaja baik orang kenamaan, atau sesiapa yang terbabit semuanya akan dipanggil bantu siasatan,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2020 (Penolong Penguasa P29 di Kompleks SPRM Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu perlu diteruskan.

Menurut Perdana Menteri, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, malah mendakwa pendakwaan sebelum ini juga tidak melibatkan tindakan kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, siasatan kes itu sebenarnya masih lagi dijalankan pihaknya bagi membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS.

“Siasatan kes ini ke arah untuk membuktikan bagaimana ia berlaku dan bagaimana kehilangan wang begitu besar berlaku, jadi beri masa kita untuk siasat dan selesaikan kes ini,” katanya.

Pada masa sama, Azam turut memaklumkan perkembangan membabitkan kes Jana Wibawa masih lagi berjalan.”(Kes Jana Wibawa) masih ade lagi, masih teruskan siasatan.

Yang dah dituduh, dituduhlah, tetapi masih ada lagi satu dua fail yang masih kita jalankan siasatan,” katanya. — Berita Harian

Loading...
Terkini