comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri maut, dua anak parah kemalangan

KEMAMAN: Seorang guru wanita dan suaminya maut, manakala dua anak mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 267.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas Hentian Rawat dan Rehat Perasing, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, mangsa Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Paka dan suaminya, Mohd Ridzuan Mohd Yaacob, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.

Manakala dua anak mereka, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra,3, masing-masing mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Hanyan berkata, ketika kejadian ke semua mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari arah Kuantan ke rumah mereka di Kampung Pulau Sekati, Manir.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu suami mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang kiri jalan.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki mereka terseret sejauh 33 meter ke kanan lebuh raya sebelum melanggar pembahagi lebuh raya dan terbalik,” katanya.

Hanyan berkata, impak pelanggaran itu juga menyebabkan keempat-empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka.

Sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kedua – dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anak mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman dan Hospital Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan manakala mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini