comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi diesel untuk pengangkutan awam, bas sekolah diteruskan

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel yang perisiannya dijangka siap suku kedua tahun ini dikecualikan kepada perkhidmatan pengangkutan awam dan bas sekolah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan mahu pengangkutan awam dan bas sekolah terus menikmati subsidi itu, sekali gus mengelakkan kenaikan tambang yang membebankan rakyat.

“Melalui subsidi bersasar elektrik pada Januari hingga Jun, kerajaan dapat berjimat sebanyak RM4.1 bilion… maka bagi suku kedua tahun ini kita cuba menyelesaikan perisian untuk subsidi diesel pada Jun hingga September.

“Apabila perisiannya sudah lengkap baharu boleh kita lancarkan, namun subsidi bersasar diesel ini tidak akan dikenakan kepada bas sekolah dan pengangkutan awam kerana kita tidak mahu adanya kenaikan tambang bas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan e-kaunter dan merasmikan piagam pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), di sini.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang merangka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini.

Pada masa sama, Ahmad berkata, bagi subsidi bersasar petrol pula, kerajaan sedang mengkaji perincian berhubung pendapatan rakyat yang boleh menikmati kemudahan itu.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang penetapan tempoh, bila subsidi bersasar petrol itu boleh dilaksanakan namun kerjasama sedang dibuat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi tujuan berkenaan.

“Bagi petrol saya harap kita dapat segerakan… tarikhnya setakat ini belum ada tapi kita ada jawatankuasa khas membabitkan beberapa jabatan bagi membincangkan kaedah yang akan digunakan.

“Semalam (di Dewan Rakyat) ada Ahli Parlimen sebut tidak semua T20 boleh diketepikan dari mendapat subsidi ini, kerana T20 berpendapatan RM10,000 di Kuala Lumpur (KL) dengan T20 berpendapatan RM10,000 di Pontian tidak sama, tekanan kepada T20 di KL lebih tinggi.

“Jadi ini antara perincian yang perlu diteliti, sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksanakan subsidi petrol RON95 secara bersasar,” katanya.

Ahmad berkata, sebelum ini pihaknya menyatakan kerajaan dapat menjimatkan sekitar RM16 hingga RM17 bilion jika pelaksanaan subsidi bahan api membabitkan petrol, diesel dan juga gas secara bersasar dilaksanakan bagi B40 dan M40.

Katanya, sebanyak 32 peratus daripada subsidi petrol, diesel dan gas digunakan oleh T20 daripada keseluruhan jumlah RM50 bilion subsidi bagi tiga bahan itu tahun lalu.

“Apabila RM50 bilion ini didarabkan dengan 32 peratus maka dapatlah penjimatan RM16 hingga RM17 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, memaklumkan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Mengenai LPPSA, Ahmad berkata, pelaksanaan e-kaunter itu akan memudahkan penjawat awam yang ingin membuat pinjaman perumahan tanpa perlu hadir ke bangunan berkenaan.

Katanya, sehingga kini LPPSA memberikan perkhidmatan kepada 776,000 penjawat awam dengan keseluruhan jumlah pinjaman kira-kira RM100 bilion.

Loading...
Terkini