comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Brunei hadir makan malam dihoskan Anwar di KLCC

KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah malam tadi berkenan menghadiri majlis makan malam dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini.

Ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha kira-kira jam 8 malam disambut Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pasangan Diraja itu kemudiannya diiringi ke tingkat 42 menara untuk menghadiri majlis.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Brunei dan Anwar kemudian meluangkan masa meninjau pemandangan dari KLCC Skybridge di tingkat 42 yang menghubungkan menara berkembar itu, sebelum meninggalkan majlis.

Sultan Brunei tiba sejak Rabu lalu (2 Ogos) untuk lawatan negara tiga hari di Malaysia.

Artikel berkaitan: Sultan Brunei tiba untuk lawatan 3 hari ke Malaysia 

Sepanjang lawatan, baginda mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, di samping menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.

Sebelum itu, Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diberi sambutan negara di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Loading...
Terkini