comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Kedah zahir dukacita konflik di Gaza

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah melahirkan rasa dukacita terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza berikutan kekejaman rejim Zionis terhadap orang awam terutamanya kanak-kanak.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan semua pihak supaya bersyukur dengan keamanan dikecapi Malaysia hasil perjuangan pejuang kemerdekaan yang berkorban memastikan negara ini bebas daripada cengkaman penjajah.

“Ketika ini masih terdapat beberapa negara yang berjuang untuk menegakkan keadilan dan menuntut kemerdekaan tanah air yang mereka cintai.

“Walaupun negara kita aman merdeka, menjadi tanggungjawab penjawat awam seperti KCS (penjawat awam Kedah) dan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) serta badan korporat untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang terbaik pada setiap masa,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Majlis Penutup Program Pengukuhan Kepemimpinan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan Kursus Minggu Eksekutif 2023 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan penyerahan sijil kepada 82 peserta kursus terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan Kedah, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta swasta, yang menamatkan kursus selama lima hari.

Antara penerima sijil adalah Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Sultan Sallehuddin bertitah, ketika ini ancaman ke atas sesebuah organisasi berpunca daripada individu dalam organisasi berkenaan dan cabaran untuk mencapai dan mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan yang unggul menjadi satu tanggungjawab yang berat untuk direalisasikan.

Justeru, baginda percaya agensi kerajaan mahupun swasta sentiasa berhadapan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari dalam mahupun luar persekitaran dan ancaman ini boleh menjejaskan prestasi, produktiviti serta masa hadapan sesebuah organisasi.

“Kejayaan dan kemajuan sesebuah organisasi ditentukan oleh pemimpin yang berwawasan, semangat berpasukan, berdisiplin dan komited dalam melaksanakan tugasan yang telah dirancang.

“Selain itu, kesefahaman dan kerjasama yang baik dalam kalangan pekerja akan memacu kejayaan sesebuah organisasi. Namun sekiranya pekerja bermusuhan sesama sendiri untuk kepentingan peribadi, maka musnahlah organisasi tersebut,” titah baginda.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini