comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek lepaskan tembakan di KLIA dipercayai mahu lari ke Makkah – Polis

KOTA BHARU: Suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dipercayai mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand, sebelum ditahan petang semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zainia, berdasarkan rampasan yang dibuat membabitkan sejumlah wang tunai dalam mata wang asing Riyal dan Baht daripada suspek semalam.

Selain wang tunai, katanya polis turut merampas pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 biji peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit pasport serta empat keping kad pengenalan milik orang lain.

“Saya tidak menolak kemungkinan berkenaan (mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand) berdasarkan wang tunai dalam mata wang asing yang dirampas. Namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita percaya suspek memang mahu melarikan diri ke luar negara dan bagaimana kaedah suspek mahu melarikan diri, itu dalam siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, suspek ditahan di hadapan hospital jam 3 petang semalam sebaik keluar daripada Hospital Pakar Perdana.

Katanya, pihaknya mendapati suspek hadir ke hospital berkenaan untuk mengambil laporan kesihatan yang sudah siap.

“Berdasarkan siasatan, pemeriksaan kesihatan berkenaan sudah dibuat lebih awal iaitu sebelum kejadian dan apa tujuan laporan kesihatan itu dibuat sama ada untuk memohon visa atau sebaliknya, masih dalam siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, suspek direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu bermula hari ini sehingga Isnin.

Penahanan reman suspek Hafizul Harawi, 38,bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini