comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat konsesi diminta naik taraf kemudahan motosikal kuasa tinggi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KAJANG: Syarikat konsesi lebuh raya diminta untuk menyediakan dan menaik taraf kemudahan bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi, selain menambah baik kemudahan ruang hentian kepada penunggang motosikal.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan ekoran majoriti kemalangan maut membabitkan pengguna kenderaan berkenaan.

“Ada laluan motosikal tidak mengambil kira pengguna motosikal berkuasa tinggi. Saya dapati ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi menggunakan lebuh raya dan mereka tidak mendapat kemudahan sewajarnya.

“Sebagai contoh, laluan masuk menghala tol Pulau Pinang dan tol Ipoh (Perak) yang dilihat tidak sesuai untuk digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan kemungkinan berlaku kemalangan di kawasan berkenaan sangat besar.

“Saya bersama Ketua Pengarah LLM (Ir Sazali Harun) akan panggil dan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat konsesi untuk kita beri perhatian kerana kita kenal pasti ia sebagai penyumbang kemalangan dan jumlah kematian paling besar” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh awal tahun hingga Mei lalu, sebanyak 9,069 kemalangan direkodkan di lebuh raya di bawah pengawasan LLM.

Daripada jumlah itu, 200 kes kemalangan maut membabitkan motosikal daripada keseluruhan 425 kemalangan maut pelbagai kelas kenderaan yang dicatatkan.

“Saya sudah menekankan kepada ahli-ahli lembaga pengarah terutamanya pengurusan tertinggi LLM supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada penambahbaikan berkaitan penunggang motosikal.

“Ini kerana kita dapati bahawa kebanyakan kemalangan ini berlaku sewaktu cuaca tidak baik terutama bagi mereka yang mengambil jalan mudah untuk berteduh di beberapa hentian di bawah jejambat. Pada 4 Jun lalu, tiga kematian kerana mereka berteduh di bawah jejambat dan berlaku kemalangan,” katanya.

Dalam kejadian 4 Jun lalu, tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk yang terbabas ketika mereka berteduh dari hujan di bawah jejambat di Kilometer (KM)19.6 Lebuhraya NKVE.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 5.59 pagi ketika sekumpulan penunggang motosikal berhenti untuk berteduh di bawah jejambat arah selatan lebuh raya berkenaan.

Terdahulu, Jalaluddin memulakan tugas rasmi hari ini setelah dilantik sebagai Pengerusi badan berkanun berkenaan pada 15 Jun lalu, dengan mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LLM dan melakukan lawatan sulung ke Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM.

Loading...
Terkini