comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat pengurusan bangunan dikompaun, gagal kemuka resit bayaran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pengurusan bangunan kediaman di Petaling Jaya, Selangor dikompaun RM2,000 kerana gagal mengemukakan resit sebagai bukti pembayaran berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kompaun dikenakan dibawah Seksyen 146 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Siasatan telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Petaling Jaya ke atas aduan yang dikemukakan oleh pengadu yang merupakan penduduk di bangunan kediaman tersebut berikutan kegagalan pihak pengurusan syarikat untuk mengemukakan resit pembayaran ke atas caj penyelenggaraan bangunan yang dibuat pada 17 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pihak pengurusan bangunan terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 140(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana gagal memberikan resit kepada pengguna bagi perkhidmatan penyelenggaraan bangunan.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi perseorangan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDN memberi amaran kepada semua pihak yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi berhubung isu tersebut.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa di mahkamah, sekiranya didapati mana-mana pihak gagal mengemukakan resit ke atas apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna.

“Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu yang berkaitan boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp di talian 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800.

“Aduan juga boleh dikemukakan di E-mel ([email protected]); Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN serta hubungi Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245,” katanya.

Loading...
Terkini