comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Syukur, doa kami setiap hari dimakbulkan Tuhan’

Laporan Buletin TV3 sebelum ini mengenai penemuan Prebet Syafiq selepas 19 hari hilang

BALING: “Syukur adik selamat walaupun tersesat di hutan selama 19 hari… doa kami setiap hari dimakbulkan Tuhan… syukur sangat-sangat.”

Itulah luahan Syazwani Abdul Halim, 24, abang kepada Prebet Muhammad Syafiq Hilmi, 22, yang ditemui selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang pada 18 Jun lalu.

Syazwani yang ditemui di rumahnya di Pekan Kuala Pegang berkata, anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) itu adalah anak ketiga daripada lima beradik.

Katanya, mereka sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Muhammad Syafiq Hilmi hilang ketika bertugas.

“Sejak kehilangan adik, kami tidak putus berdoa supaya dia ditemui selamat dan akhirnya dia ditemui semalam,” katanya.

Menurut Syazwani, ibu mereka, Zawiyah Salleh, 55, di bawa pihak ATM kira-kira jam 8 malam tadi untuk menemui adiknya di Sarawak.

Katanya, bapa mereka, Abdul Halim Abdul Kadir tidak dapat ikut serta kerana sakit.

“Semalam kami sempat mengadakan kenduri kesyukuran apabila adik ditemui selamat,” katanya.

Semalam Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), berkata Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

“Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

“Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini