comscore
Tumpuan :
Nasional

Tabung Haji Umum Kadar Bayaran Haji Secara Bersasar Bagi Dua Kategori Jemaah

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

PETALING JAYA : Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan dua kadar bayaran haji kepada golongan jemaah muassasah mengikut golongan B40 dan bukan B40.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata bayaran itu susulan anggaran kos keseluruhan ibadah yang meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

Jelas beliau, menerusi pelaksanaan bantuan kewangan haji secara bersasar, jemaah muassasah dalam kalangan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang.

Manakala kadar bayaran ditetapkan bagi golongan bukan B40 adalah RM12,980 seorang.

“Bayaran haji jemaah muassasah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

“Berikutan pelaksanaan bantuan bersasar ini, kadar bayaran haji untuk seorang jemaah muassasah B40 dikenakan sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan RM1,000 seorang manakala jemaah muassasah dalam kategori bukan B40 ialah RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar (Pengurusan Haji) TH Nurrinanuwar Shamsuddin.

Loading...
Terkini