comscore
Tumpuan :
Nasional

Haji 1444H: 31,600 jemaah haji bergerak ke Arafah Isnin ini

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke Arafah Isnin ini bagi menyertai kira-kira 3 juta umat Islam seluruh dunia bagi menyempurnakan ibadah berwukuf pada 9 Zulhijjah 1444H, keesokannya.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Makkah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor sejauh kira-kira 22 kilometer.

Sebanyak 21 bas akan berulang-alik sebanyak tiga kali untuk membawa keseluruhan jemaah haji Malaysia ke Padang Arafah untuk berwukuf.

“Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidil Haram supaya tiada jemaah yang tertinggal,” katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.

Datuk Seri Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

Beliau menambah, selepas itu jemaah haji Malaysia akan bergerak untuk mabit (bermalam) di Muzdalifah bermula 6.30 petang sebelum melontar di Mina hingga 13 Zulhijjah.

“Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

“Tahun ini kita rancang supaya 50 peratus lakukan Nafar Awal dan bakinya melakukan Nafar Thani,” katanya.

Datuk Seri Syed Saleh berkata hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC dengan penyaman udara dan bekalan makanan yang keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.

Selain itu, 50 jemaah haji dipilih menyertai Program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman) yang bakal disantuni 50 petugas haji bagi membantu mereka ketika operasi Masyair.

Bagi pesakit pula, mereka akan dibawa ke Arafah menerusi program Safari Wuquf bersama petugas perubatan dengan menaiki bas khas dan ambulans.

Loading...
Terkini