comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tak minat, sudah bekerja dan berkahwin antara punca murid berhenti sekolah – KPM

 

KUALA LUMPUR: Tidak minat lagi untuk ke sekolah, selain sudah bekerja termasuk ada yang sudah berkahwin dikenal pasti antara punca murid berhenti daripada bersekolah.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berdasarkan kepada rekod Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) antara 2019 hingga 2023.

Beliau berkata sebab lain murid berhenti sekolah adalah kerana masalah keluarga serta sukar untuk ke sekolah disebabkan faktor jarak.

Hui Ying berkata demikian ketika menjawab soalan asal Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying

Chean Chung bertanya mengenai kadar keciciran dari sistem sekolah dan sebab keciciran mengikut tahun, umur serta jantina antara 2019 hingga Jun 2023, selain langkah diambil KPM supaya mereka kembali bersekolah.

Mengulas lanjut Hui Ying berkata, kadar keciciran murid perempuan di sekolah menengah didapati meningkat dalam tempoh empat tahun lalu iaitu daripada 0.4 peratus pada 2019 kepada 0.71 peratus pada 2022.

Namun, katanya statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan pada peringkat persekolahan berkenaan iaitu dari 0.72 peratus kepada 0.29 peratus bagi tempoh sama.

Secara keseluruhan, beliau berkata kadar keciciran murid di negara ini menunjukkan trend penurunan antara 2019 hingga 2022.

Hui Ying berkata, kadar keciciran murid pada peringkat sekolah rendah menurun daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022, manakala bagi sekolah menengah daripada 1.14 peratus kepada 0.99 peratus.

Dari segi kadar keciciran murid mengikut jantina bagi sekolah rendah, statistik menunjukkan tiada keciciran bagi murid perempuan, manakala murid lelaki menunjukkan trend penurunan iaitu daripada 0.16 peratus kepada 0.09 peratus.

Loading...
Terkini