comscore
Tumpuan :
Nasional

Taman tema dibenarkan dibuka mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri bersetuju membenarkan taman tema termasuk taman tema air untuk beroperasi bermula 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, kebenaran itu membabitkan 54 Taman Tema di seluruh negara yang mempunyai lebih 10,000 tenaga kerja.

“Pengusaha semua taman tema perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.

“Had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema.

“Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan cecair pencuci tangan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengusaha taman tema air juga perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

“Garis Panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Loading...
Terkini