comscore
Tumpuan :
Nasional

Tentera bantu selaras mitigasi bencana untuk 150,000 penduduk Papar

Gambar fail beberapa orang penduduk yang mengambil air yang dibekalkan lori air di Masjid Raudhatul Ilmiyyah Kampung Kuala Papar.

PAPAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaporkan diri ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Papar di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah berkata kehadiran anggota ATM itu adalah sebagai langkah siap sedia menangani isu bencana kemarau dan menyelaras apa jua bantuan keperluan susulan bencana itu.

“Selain itu, Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd juga telah melaporkan diri ke PKOB bagi menyelaras bantuan yang diperlukan,” kata Mohd Fuad dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Fuad, jumlah penduduk terlibat bencana kemarau di Papar ketika ini kekal pada sekitar 150,000 orang.

Sebanyak 40 buah kampung, 9 kawasan perumahan, 8 sekolah, 9 taman kediaman dan tiga tempat ibadat mengalami ketiadaan bekalan air.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata Jabatan Pertanian Daerah Papar melaporkan ketiadaan bekalan air dan suhu mencapai 33 darjah celsius menjejaskan tanaman pertanian seperti padi, sayur-sayuran dan tanaman kontan.

Di dua sub-daerah di Limbahau, sawah terjejas membabitkan sejumlah 84.90 hektar kawasan dan 93 orang pesawah.

Katanya, Jabatan Informasi Negeri Sabah turut menyelaras Program ‘Info on Wheels (IOW) di enam kawasan di Papar bagi menyedarkan penduduk mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengisi air bersih ke dalam bekas yang disediakan penduduk kampung ketika membuat penghantaran air bersih ke Rumah PPRT Kampung Kuala Dalam, di Papar, hari ini. – FOTO: NSTP

Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata Papar memerlukan bekalan air bersih sekurang-kurangnya tujuh juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terjejas akibat kemarau.

Rabu lalu, PKOB Daerah Papar mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini