comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu siasat dua kes melibatkan keracunan dan makanan basi di bazar Ramadan

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Kampung Binjai Rendah di Marang. – FOTO: NSTP

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu akan menyiasat kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan walaupun masih belum menerima aduan rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata walaupun kejadian itu diketuai melalui cakap-cakap namun siasatan perlu dilakukan.

Menurutnya, beliau difahamkan satu daripada kejadian itu berlaku di daerah Marang dan satu lagi di daerah Kuala Terengganu.

“Kita (kerajaan) berharap peniaga bazar Ramadan, menyediakan juadah yang bersih dan tidak menjual semula jualan yang tidak habis pada keesokan hari,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini.

Tambah Wan Sukairi, selain insiden makanan basi, kempen menggunakan peralatan bahaya ubat stapler yang digunakan menggantikan lidi juga diambil berat.

Menurutnya, ada kes penggunaan ubat stapler mengakibatkan berlakunya kejadian ianya tersangkut pada halkom dan ia amat bahaya untuk digunakan sebagai alatan dalam penyediaan makanan.

Katanya, setiap bazar Ramadan akan menempatkan petugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada petugas berkenaan.

Beliau berkata, selain anggota penguatkuasa yang berada statik di lokasi bazar, operasi rambang juga turut dijalankan oleh petugas kesihatan PBT.

Katanya, tahun ini sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan beroperasi di seluruh negeri berbanding 57 lokasi tahun lalu membabitkan peniaga seramai 4,086 peniaga tahun ini berbanding tahun lalu hanya 3,933 peniaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini