comscore
Tumpuan :
Nasional

Tertidur kepenatan sebelum ditemui mati dalam MPV

 

BATU PAHAT: Tiga warga Myanmar yang ditemui mati dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) malam tadi disyaki tertidur sebab penat ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng arah Selatan selepas menempuh perjalanan jauh dari Genting Highlands menuju ke Pasir Gudang, Johor.

Mereka dikatakan meminjam MPV jenis Perodua Alza itu daripada seorang rakan di Johor Bahru.

Ketiga-tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Myo Htet, 25, dan Zaw Naing, 23, dan seorang lagi wanita, Khin Mar Yee, 27.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mereka mahu pulang ke Pasir Gudang, berhenti di R&R terbabit untuk berehat dan tertidur dipercayai kepenatan.

Bagaimanapun, Shahrulanuar berkata, disebabkan MPV itu berhenti terlalu lama dengan enjin serta penghawa dingin tidak dimatikan, orang awam yang berada di lokasi mula curiga.

Artikel berkaitan : [VIDEO] Tiga ditemukan maut dalam kereta di R&R Yong Peng

“Apabila mendekati MPV itu, mereka melihat tiga individu sedang ‘tidur’ lalu memanggil serta mengetuk cermin tingkap, namun ketiga-tiga mereka tidak memberi sebarang tindak balas. Kesemua cermin tingkap ditutup rapat serta pintu kereta berkunci dari dalam.

“Lantaran itu, mereka bertindak memecahkan cermin tingkat di bahagian pemandu untuk membuka pintu. Selepas pintu berjaya dibuka, kesemua mangsa kaku sebelum menghubungi polis dan ambulans,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Shahrulanuar, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.15 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Balai Polis Yong Peng dan Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah Johor bergegas ke lokasi.

Katanya lagi, pasukan perubatan tiba di lokasi pada jam 10.10 malam membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga mangsa dan mengesahkan mereka sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian.

Mayat warga Myanmar tiba di Jabatan Forensik HSNI. – Foto NSTP

“Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian agar dapat tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999,” katanya.

Terdahulu, tiga warga Myanmar ditemukan mati dalam MPV di R&R Yong Peng pada jam 8.30 malam tadi.

Setakat ini,  kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum menunggu laporan bedah siasat.

Artikel berkaitan : 3 mati dalam MPV, tunggu laporan bedah siasat – Polis

Loading...
Terkini