comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi pengendali bas ekspres kenakan caj tambang tambahan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali bas ekspres yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kenyataan hari ini, APAD memaklumkan, pihaknya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya.

“Pengendali juga diberi peringatan agar mengenakan kadar tambang munasabah dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan tambang selain jadual tambang yang telah ditetapkan berdasarkan kategori ekonomi atau kategori eksekutif,” menurut kenyataan itu.

APAD turut menasihatkan pengguna perkhidmatan bas ekspres agar merancang perjalanan dan tidak membuat pembelian tiket perjalanan di saat akhir bagi mengelakkan kesulitan rancangan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Selain itu, pengguna perlu mengenal pasti jenis perkhidmatan bas ekspres sama ada kelas ekonomi atau kelas eksekutif kerana kedua-dua jenis perkhidmatan berkenaan mempunyai perbezaan dari segi jenis perkhidmatan dan kadar tambang.

Pengguna juga dikehendaki membuat pembelian tiket melalui saluran yang sah, hadir awal ke terminal ketika hari perjalanan dan mematuhi peraturan ditetapkan serta memberi kerjasama kepada pemandu dan pengguna lain.

Berdasarkan tinjauan APAD di terminal utama seluruh Semenanjung mendapati, jualan tiket secara atas talian melalui Sistem Tiket Berpusat (CTS) masih dibuka.

“Sebagai inisiatif membantu industri bas ekspres dalam memastikan jumlah bas ekspres mencukupi sepanjang tempoh perayaan ini, pihak APAD telah membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi perkhidmatan bas ekspres kelas Ekonomi dan menerima sebanyak 174 permohonan sejak ia dibuka pada 11 Mac lalu dan jumlah ini dijangka meningkat sebelum tarikh tutup permohonan pada 2 April 2024.

“APAD berharap lebih ramai pengendali bas ekspres akan membuat permohonan LPS ini seterusnya memberi perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan efisien kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Selain perkhidmatan bas ekspres, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan pulang ke kampung halaman.

“APAD sentiasa komited memastikan perkhidmatan pengangkutan awam sentiasa terjamin dan mencukupi sempena musim perayaan ini dan kerjasama semua pengendali serta pemain industri amatlah diharapkan dalam usaha menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pilihan rakyat meraikan kemeriahan suasana pulang ke kampung halaman,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini