comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiada siapa untung kalau rakyat saling bertelagah – PM

Perdana Menteri hadir pada Program Sambutan Hari Festival Ponggal Peringkat Parlimen Tambun di SJKT Klebang. – FOTO: NSTP

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada mana-mana pihak beroleh keuntungan jika termakan dengan hasutan pemimpin politik tertentu agar masyarakat berbilang kaum di negara ini saling bertelagah dan bergaduh.

Perdana Menteri berkata, mereka yang berada ‘di atas’ hanya menyuruh agar pergaduhan antara kaum dicetuskan namun ‘mangsa’ yang melaksanakan pergaduhan itu adalah rakyat atau mereka yang berada di bawah.

“Orang lain, balik-balik dia suruh bergaduh Melayu-Cina-India. Saya tegaskan bila kita bergaduh antara sesama kita apa yang untung? Rakyat tak untung sebab yang bergaduh adalah orang di bawah.

“Yang suruh gaduh siapa? (Adalah) orang politik di atas,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin dalam Program Sambutan Hari Festival Ponggal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor, di sini, hari ini.

Katanya, festival Ponggal tidak seharusnya dikaitkan dengan upacara keagamaan yang kelak akan menjadikan jurang untuk kaum lain turut sama meraikannya.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan yang Melayu supaya datang meraikan (kerana) ini (Ponggal) bukan upacara agama saja, sebaliknya adalah pesta menuai yang kalau di negara India saya sudah melihat upacara ini turut disambut bersama baik oleh masyarakat Hindu mahupun Muslim,” katanya.

“Saya datang ke sini untuk bersama menghormati dengan meraikan budaya pesta menuai masyarakat India. Orang Melayu pun harus faham. Namun sebagaimana kita tahu masalah ini akan terus berbangkit, tetapi percayalah Malaysia mesti ubah daripada cara lama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, dalam tempoh sebulan setengah, beliau melihat pelabur asing termasuk dari China, India, Amerika Syarikat serta Eropah sudah menunjukkan minat melabur di negara ini.

“Ianya untuk apa jika bukan untuk menyelamatkan rakyat, memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang baik,” katanya.

Anwar dalam pada itu turut mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan rakyat khususnya golongan yang susah ketika mempunyai kuasa kedudukan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau terinspirasi dengan lagu Tamil kegemarannya iaitu Naan Aanaiyittal yang dinyanyikan artis terkenal India, MG Ramachandran (MGR) kerana lagu itu mengajarnya agar tidak lupa tanggungjawab terhadap rakyat.

“Saya selalu ingatkan kepada kawan-kawan, kalau ada kuasa gunakan untuk rakyat,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini