comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga akta dipinda tambah baik perlindungan mangsa jenayah seksual kanak-kanak

Foto hiasan

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan meminda tiga akta bagi menambah baik perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan menjamin keadilan kepada mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan membabitkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Akta Keterangan 1950.

“Antara cadangan pindaan yang akan dibuat adalah memperkenalkan langkah tambahan mesra kanak-kanak untuk melindungi mangsa kanak-kanak, mewujudkan kesalahan baharu dan memperuntukkan pampasan kepada mangsa kanak-kanak.”

“Pindaan perundangan yang bakal dilaksanakan ini adalah perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia, selain menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini.” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Beliau berharap cadangan reformasi itu dapat membantu mangsa atau saksi kanak-kanak daripada mengalami trauma berpanjangan akibat terpaksa melalui proses perbicaraan berpanjangan, berulang-ulang dan sistem kehakiman yang bersifat tidak mesra kanak-kanak.

Justeru, beliau menegaskan semua Ahli Parlimen perlu memainkan peranan agresif ketika membahaskan pindaan ketiga-tiga akta berkenaan bagi memastikan undang-undang itu cukup ampuh bagi melindungi kanak-kanak, terutama mangsa jenayah seksual.

Pindaan itu juga diharap dapat mempercepatkan proses perbicaraan bagi memelihara aib kanak-kanak dan mengelak mangsa  berulang-alik ke mahkamah.

Azalina berkata, pengurusan kes membabitkan mangsa jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak berbeza berbanding orang dewasa dan memerlukan pendekatan tersendiri.

Ia termasuk peranan hakim dalam mendapatkan keterangan daripada mangsa.

Loading...
Terkini