comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga wanita dalang kes pecah tabung masjid ditahan

Foto hiasan

SEREMBAN: Tiga wanita dipercayai mendalangi jenayah pecah tabung surau dan masjid di sekitar daerah ini tumpas berikutan tertangkapnya ke semua suspek.

Difahamkan, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 6.30 petang 26 Mei lalu, suspek dikatakan menyamun wang dari tabung sebuah surau di Taman Dato Wan, dekat Paroi, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki mendakwa tabung surau dipecahkan dan semua wang dilarikan.

“Pada jam 8.56 malam Rabu lalu, pihak kami menerima laporan polis daripada ahli jawatankuasa (AJK) surau di Taman Dato Wan yang menyatakan tabung dipecahkan. Laporan hanya dibuat selepas lima hari kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek memotong mangga pada tabung dan mengambil semua wang di dalamnya,” kata Arifai dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut dijalankan dan beberapa siri tangkapan dibuat membabitkan tiga suspek wanita berusia 26 hingga 28 tahun dari 1 Jun hingga semalam.

“Dengan tertangkapnya suspek dalam kes ini, pihak polis menyelesaikan tiga kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Seremban.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan. Semua suspek direman sehingga 5 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini