comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan senarai hitam Amira Aisya ikut undang-undang  – JPPM

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan penyenaraian hitam Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz daripada memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar, adalah berpandukan proses siasatan dan undang-undang teratur.

Tindakan itu kata JPPM, dibuat berdasarkan kuasa yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966, (Akta 832).

“JPPM ingin menjelaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ke atas beliau adalah berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017) melalui Notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Oktober 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan itu juga mengikat beliau mengikut Seksyen 49 dalam akta sama.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu dilapor membenarkan permohonan Amira Aisya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap JPPM, selepas tidak mendapat bantahan daripada peguam negara.

Beliau yang juga Adun Puteri Wangsa di Johor, meminta mahkamah membatalkan keputusan JPPM menyenarai hitam dirinya dan mengeluarkan deklarasi bahawa Akta Pertubuhan tidak memberi badan kawal selia itu kuasa menghalang sesiapa daripada memegang jawatan.

Amira Aisya mendakwa penyenaraian hitam itu melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan seperti yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain tidak munasabah dan berdasarkan pertimbangan tidak relevan.

Loading...
Terkini