comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan untuk yang ingkar – Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (empat dari kiri).
Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Masih ada segelintir yang didapati enggan mengikuti garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan selama 14 hari, bermula hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya positif perkara itu dapat diperbaiki.

Jelas Kon Yeow, kelemahan pada hari pertama ini memang sudah dijangka, namun yang penting adalah proses menyedarkan dan mendidik supaya kesalahan yang sama tidak diulangi. 

“Penduduk Pulau Pinang perlu peka dengan garis panduan yang dikeluarkan dan menurutinya tanpa sikap sambil lewa agar dapat mencapai objektif pelaksanaan PKP.

“Amaran saya, kepada mereka yang masih berdegil ada implikasi yang lebih serius pada masa akan datang.

“Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai akan memainkan peranan dengan melakukan rondaan dan memberi amaran kepada premis makanan yang masih menghidangkan makanan kepada pengunjung. 

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebilangan pengunjung gerai makanan di George Town yang memilih untuk menjamu selera di premis, meskipun ia dilarang mengikut PKP. 

Kon Yeow berkata, pihak media juga mempunyai tanggungjawab untuk menghebahkan larangan dan maklumat mengenai PKP supaya individu yang masih ingkar sedar akan kesalahan mereka. 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan kerajaan Pulau Pinang akan melancarkan sebuah laman web sebagai platform capaian maklumat mengenai COVID-19 kepada rakyat Pulau Pinang.

Laman web www.PenangLawanCovid19.com itu dijangka dilancarkan secara rasmi esok dan semua maklumat terkini akan dimuat naik selain saluran-saluran rasmi sedia ada termasuk platform komunikasi rasmi di bawah kerajaan negeri. 

Setakat ini, maklumat daripada kerajaan negeri dikongsi dalam laman facebook www.facebook.com/penanglawancovid19 kepada tatapan umum.

Loading...
Terkini