comscore
Tumpuan :
Nasional

Tinggal dengan timbunan barangan terbuang dan sampah!

Foto ihsan Marina Ibrahim

KUALA LUMPUR: Tinggal dalam rumah yang sarat dengan timbunan barangan terbuang dan sampah selama 20 tahun!

Ini kisah tiga beranak di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai Marina Ibrahim menerusi laman twitternya.

Bukan hanya di luar kaki lima, malah sampah seperti plastik, kertas dan botol kosong memenuhi seluruh ruang rumahnya.

Foto ihsan Marina Ibrahim

Marina berkata, beliau mengambil peluang untuk membersihkan ruang kaki lima rumah seorang wanita berusia lingkungan 60-an di flat itu yang dipenuhi dengan barangan terbuang.

“Mula-mula kami fikir hendak bersihkan luar rumah saja, tetapi bila saya minta izin hendak tengok dalam rumah, wanita itu macam berat beri keizinan.

“Apabila masuk saja, saya terperanjat sebab tiada ruang seluruh ruang rumahnya daripada depan sampai ke dapur semuanya penuh dengan barangan terbuang.

“Memang hendak lalu pun sempit sebab dari lantai sampai siling memang penuh dengan barangan terbuang.

“Tak dapat bayangkan macam mana dia hidup dengan dua anak itu kerana dalam bilik pun penuh dengan barang terbuang,” katanya yang menyertai Program Johor Bersih, bagi membersihkan kawasan Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor, semalam.

Beliau berkata, mereka hanya sempat membersihkan sampah dan barangan terbuang yang berada di kaki lima rumah wanita itu dengan menggunakan dua lori.

“Wanita ini beritahu dia kumpul barangan kerana mahu menjualnya, tetapi hakikatnya barangan itu tidak boleh dijual kerana ia hanya sampah sarap seperti kekabu bantal, kulit limau kering, plastik dan kertas, malah makanan yang sudah sampai tarikh luput pun masih disimpan.

“Dari cara dia, menangis dan raut wajahnya takut dan bimbang kita tahu dia tak mahu kita buang barangan itu,” katanya.

Katanya, beliau turut meminta pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB), ahli majlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melihat isu itu kerana dibimbangi berlaku kejadian tidak diingini termasuk risiko kebakaran.

“Kita sedar wanita ini mungkin menghidap hoarding disorder (tabiat mengumpul barang), jadi saya sudah berhubung dengan JKM untuk memberikan bantuan sewajarnya termasuk kaunseling.

“Malah, anak dia juga memerlukan kaunseling kerana sudah terbiasa dengan kehidupan macam itu serta melihat beberapa keperluan lain termasuk isu persekolahan mereka kerana masing-masing masih berusia 14 dan 16 tahun.

“Saya juga sudah bercakap dengan ahli majlis dan pihak JMB untuk menyelesaikan isu ini dan sekiranya perlu, kami akan turun untuk membersihkan rumah wanita itu.

“Maklumat saya terima daripada JMB, wanita itu sudah diberi teguran, namun dia tidak boleh menerimanya dan masih meneruskan tabiatnya itu sejak bertahun-tahun jadi kali ini kita tidak mahu ia dibiarkan lagi,” katanya.

Perkongsian Marina mengenai kisah tiga beranak ini di Twitter miliknya meraih pelbagai reaksi netizen.

Loading...
Terkini