comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Trafik perlahan di beberapa lebuh raya menuju Lembah Klang

 


KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan menuju ke Lembah Klang susulan pergerakan pulang orang ramai selepas sambutan Aidiladha, hari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan sedikit meningkat berbanding hari biasa di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) tetapi setakat jam 9.20 malam ini, trafik masih terkawal.

Di utara tanah air pula, katanya, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Jawi ke Sungai Bakap, Gurun ke Sungai Petani, Terowong Menora ke Ipoh, Tapah ke Sungkai, serta Tanjung Malim ke Rawang.

“Aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari Alor Gajah ke Seremban berikutan pertambahan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Seterusnya di Pantai Timur, terdapat pertambahan kenderaan di Plaza Tol Bentong ke Lentang yang menyebabkan aliran trafik perlahan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar di kedua-dua arah, setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini