comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Ground Penetrating Radar untuk kesan mangsa, boleh tembus tanah 5m

HULU SELANGOR: Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali di sini, ditambah baik dengan penggunaan peranti canggih, Ground Penetrating Radar untuk mengesan mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

Ini kali pertama alat mudah alih itu digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di negara ini.

Pengarah Bahagian Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata  ia boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.

“Ia adalah peranti canggih mudah alih dan yang pertama di negara ini digunakan dalam insiden bencana.

“Bagaimanapun, banyak negara jiran sudah menggunakan peranti ini untuk operasi bencana. Kami berharap peranti ini dapat memudahkan operasi SAR,” katanya.

Mohd Khairi memberitahu alat berkenaan ditaja syarikat Geoventure Solution melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada NADMA.

Pihaknya akan melihat hasil penggunaan alat berkenaan, sama ada ia membantu operasi SAR dan mempercepatkan proses penemuan mayat.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, proses menggali dan mengorek tanah menggunakan jentera pengaut dilakukan secara berperingkat dan perlahan bagi mengelak terkena mayat.

Operasi disambung jam 9 pagi tadi melibatkan sejumlah anggota penyelamat daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat anjing pengesan serta jentera berat .

Kawasan pencarian pula masih ditumpukan di ketiga-tiga sektor iaitu sektor A (kem Hillview), sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Operasi SAR juga kian mencabar disebabkan keadaan tanah basah, lembut, berselut serta  aliran air bawah tanah yang aktif.

Setakat petang semalam, 24 mangsa telah disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu.

61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Dalam kejadian sekitar jam 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di sini.

Loading...
Terkini