comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Johor dan Sabah negeri terbaharu dilanda banjir, 28,310 mangsa di seluruh negara

 

KUALA LUMPUR: Johor dan Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir, menyaksikan jumlah mangsa bencana itu yang dipindahkan di enam negeri terus meningkat kepada 28,310 orang setakat 6 pagi ini, berbanding 25,938 orang petang semalam.

Laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 PPS, meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada 4 petang semalam.

Keadaan banjir di Rantau Panjang. – FOTO: NSTP

Di Terengganu, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat, manakala dua negeri terbaharu dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di daerah Cameron Highlands yang membabitkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini