comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air: Beg sandang berisi tanda nama ‘Fatin’ ditemui

KUALA TERENGGANU: Sebuah beg sandang berisi wang dan dokumen penting dipercayai milik Karim Abdullah, 39, mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih di Kemaman ditemukan pasukan pencarian, semalam.

Turut ditemukan dalam beg sandang hitam berjenama Gregory itu ialah tanda nama ‘Fatin’ dipercayai milik Putri Nor Fatin Karim, 14, satu-satunya mangsa yang masih hilang, selain wang tunai RM1,279, kad perkahwinan, jam tangan, telefon bimbit dan seutas kalung.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, beg itu ditemukan di tebing pasir pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian pada 12 tengah hari semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit di dalamnya jenama Michael Kors berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan barangan berharga milik mangsa, antaranya kad pengenalan dan MyKid (anak-anak) dan beberapa keping kad bank,” katanya dalam kenyataan.

Pada 1 Julai lalu, Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta tujuh anak mereka dari FELDA Lepar Hilir 3 di Kuantan, Pahang berkelah ke jeram berkenaan yang turut disertai Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.

Mereka dipercayai dihanyutkan arus deras kepala air dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan polis keesokan harinya selepas penemuan mayat Azizah yang terapung dibawa arus sungai sejauh 24 km dari lokasi kejadian dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, kira-kira dua km dari lokasi kejadian.

Setelah seminggu pencarian, sembilan mayat ditemukan dan selamat dikebumikan, namun Putri Nor Fatin masih belum dikesan hingga kini.

Operasi SAR diteruskan dengan skala lebih kecil dan secara pemantauan harian oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh dan BBP Chukai serta agensi penyelamat yang lain. – BERNAMA

Loading...
Terkini