comscore
Tumpuan :
Nasional

Trend pembelian beras putih tempatan bertambah baik – Timbalan Menteri 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Situasi kekurangan bekalan beras putih tempatan semakin reda berikutan trend pembelian panik mula menunjukkan penurunan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menegaskan trend pembelian minggu lalu juga bertambah baik.

“Tidak dinafikan bekalan beras belum pulih sepenuhnya berikutan kita masih terdapat aduan mengenai kekurangannya di pasar raya besar serta kedai, tetapi keadaannya (sekarang) semakin baik.

“Ia masih berlaku kerana bekalan daripada pembekal dalam satu hari tidak dihantar banyak, jadi apa yang ada habis dibeli dalam masa singkat.

“Bagaimanapun situasi minggu ini berbanding sebelumnya semakin reda kerana trend pembelian panik tidak lagi begitu ketara, kerana jika sudah beli minggu lalu, minggu ini mereka tidak beli lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Rabies Sedunia di Hospital Veterinar Kuala Lumpur, Cheras di sini, hari ini.

Isu kekurangan BPT berlaku ketara susulan Kerajaan Persekutuan India pada 28 Ogos lalu menetapkan untuk menaikkan duti eksport sebanyak 20 peratus ke atas beras rebus atau parboil berkuat kuasa 3 September.

Foong Hin berkata, bekalan BPT berjaya distabilkan hasil usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan kapasiti pengedaran beras tempatan daripada 400 tan metrik (MT) sebulan kepada 1,100 MT bagi memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

“Jadi kita mengalu-alukan sesiapa saja supaya berjumpa dengan saya atau menghubungi Kawalselia Padi Dan Beras KPKM yang mengambil peranan melakukan operasi beras tempatan untuk melaporkan isu beras,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Foong Hinmenafikan dakwaan Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengatakan kekurangan beras disebabkan manipulasi bekalan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tajuddin, semalam mendakwa situasi bekalan BPT terhad ketika ini berkemungkinan berpunca daripada ‘tangan ghaib’ yang mengambil kesempatan.

“Orang politik suka komen atau memberi gambaran mengenai sesuatu isu tetapi itu terpulang kepada mereka, kerana kita tidak boleh beri maklum balas setiap satu pandangan peribadi.

“Lebih baik kita mencurahkan tenaga untuk isu lebih spesifik seperti isu logistik, pengagihan stok beras tempatan yang lebih efisien,” katanya.

Foong Hin sebaliknya berkata, sehingga kini KPKM tidak mendapat aduan sebarang kesalahan kes tukar kampit tempatan kepada beras import.

“Ini kerana selepas beratus-ratus operasi KPKM serta operasi bersepadu yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) tiada bukti yang kukuh kegiatan itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, mengenai gesaan pelbagai pihak supaya memecahkan monopoli padi dan beras yang dkuasai Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), beliau berkata, setakat ini lesen import (AP) beras masih kekal dengan syarikat konsesi berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini