comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tukang rumah didakwa bunuh isteri guna tukul besi

DUNGUN: Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan memukul mangsa menggunakan tukul besi.

Mohd Amir Hamzah, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif dan tiada pengakuan direkodkan mahkamah.

Dia didakwa menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, dengan memukul wanita itu di sebuah rumah di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, antara jam 7.30 hingga 8.30 pagi pada 5 April lalu.

Mohd Amir Hamzah dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun, hari ini. – FOTO: NSTP

Mohd Amir didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

Mohd Amir dan Rubiah dilaporkan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

Mangsa yang mengusahakan perniagaan kedai runcit juga mempunyai enam anak hasil perkahwinan pertamanya.

Pada 6 April lalu, Ketua Polis Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan masalah kewangan punca kejadian itu.

Loading...
Terkini