comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tukang rumah dipukul, wang tunai dilarikan penjenayah

Foto hiasan

CHUKAI: Seorang tukang rumah cedera selepas dipukul dengan kayu sebelum wang tunai sebanyak RM470 dan sebuah telefon bimbit miliknya dilarikan penjenayah dalam kejadian di Lorong Al -Amin, Kampung Geliga Besar, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa bekerja membina rumah di situ.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, ketika kejadian mangsa sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi empat lelaki dengan menaiki dua buah motosikal jenis EX5 warna hitam.

“Salah seorang suspek meminta wang daripada mangsa sebanyak RM1000 dan selepas mangsa enggan memberi wang yang diminta, mereka telah memukul mangsa. Mangsa mendakwa dipukul ada bahagian kepala dan bahu sebelah kanan dengan menggunakan kayu,” katanya.

Hanyan berkata sebelum melarikan diri, salah seorang daripada suspek merampas beg silang milik mangsa mengandungi wang tunai RM470 dan sebuah telefon bimbit jenama Realme model C30 warna hitam.

Susulan daripada laporan itu, polis kemudian menahan dua lelaki berusia 16 tahun kira-kira jam 10 malam tadi untuk siasatan lanjut.

Dua lagi suspek masih diburu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini