comscore
Tumpuan :
Nasional

Tumpang rumah jiran sambut lebaran selepas baju raya, rumah hangus terbakar

FOTO: Fail NSTP

KUALA BERANG: Hasrat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama kedua ibu bapa tidak kesampaian apabila rumah hangus terbakar, petang semalam.

Muhaizar Mohamad, 43, berkata, rumah yang dihuni mentuanya Md Jamhuri Sanusi, 70, dan Zabedah Mohd, 68, di Kampung Padang Setar, hangus dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 4.10 petang dia ketika itu sedang tidur di beranda, anak-anak sedang bermain manakala isterinya Suria Arfah Md Jamhuri 39, sedang memasak di dapur bersama ibunya.

“Ketika bapa mentua berjalan untuk ke dapur, bapa terhidu bau hangit dari dalam salah sebuah bilik lalu memaklumkan kepada saya.

“Sebaik membuka pintu bilik berkenaan saya melihat terdapat percikan api dan mengambil keputusan untuk memadamkan kebakaran terbabit namun gagal,” katanya.

Menurutnya, dia bersama isteri dan anak-anak pulang ke rumah mentua pada Rabu untuk menyambut Aidilfitri, dan tidak menyangka akan berdepan detik cemas namun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, adik iparnya Rizal Md Jamhuri, 37, pula baru sampai kira-kira jam 12 tengah hari semalam sebelum keluar ke bandar Kuala Berang, untuk membeli sedikit keperluan harian pada jam 4 petang.

Muhaizar berkata, adik iparnya tidak sempat menyelamatkan semua barangan yang sudah dibawa naik ke dalam rumah berikutan ketika itu adik ipar keluar bersama ahli keluarganya.

“Bapa dan ibu mentua masih trauma dengan kejadian ini dan sambutan Aidilfitri kali ini dijangka enam daripada tujuh adik beradik isteri akan pulang berhari raya di sini.”

“Namun, akibat kejadian ini kami sekeluarga kini menumpang rumah jiran yang terletak bersebelahan rumah mentua dan kebetulan rumah jiran berkenaan adalah rumah kosong,” katanya.

Katanya, dia bersama isteri dan ahli keluarga lain mengambil keputusan tetap menyambut Aidilfitri dan tidak pulang ke ibu kota sehingga habis cuti namun dalam suasana berbeza kerana beraya sekadar termampu kerana banyak barangan seperti baju dan kelengkapan lain hangus terbakar.

Anak sulung keluarga berkenaan, Samsul Md Jamhuri, 42, berkata, dia tinggal bersama kedua ibu bapanya namun pada Rabu dia ke Chenih, Kemaman, untuk menjemput isterinya pulang beraya di Kuala Berang.

“Saya menerima panggilan memaklumkan rumah keluarga terbakar dan sebaik tiba saya melihat keseluruhan struktur rumah yang diperbuat daripada kayu hangus.”

“Buat masa ini kami menumpang rumah jiran yang kebetulan kosong dan bolehlah kami berhari raya ala kadar di rumah ini buat sementara waktu,” katanya.

FOTO: Fail NSTP

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 petang berhubung kebakaran rumah separuh kekal.

FOTO: Fail NSTP

“Kebakaran membabitkan 75 peratus rumah berkenaan dan api marak dengan pantas berikutan cuaca panas manakala operasi tamat sepenuhnya pada jam 6 petang,” katanya.

Loading...
Terkini