comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Tunjuk bukti Kuala Kangsar diugut, jangan pakai bebal saja’ – Anwar beritahu Hamzah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu mengemukakan bukti selepas mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan Hamzah itu adalah serius dan perlu disiasat.

“Kalau dia (Hamzah) ada bukti dia kena bawa kes, tapi apa lagi dia nak kata. Yang saya tahu saya belum jumpa (Iskandar Dzulkarnain), saya belum hubungi beliau, saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut. Kalau ada bukti, dia perlu keluarkan, jangan pakai bebal saja.

“Kalau ada, ini satu tuduhan serius, dia patut bawa laporan dan biar ada siasatan,” katanya selepas merasmikan Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ anjuran Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya (UM), hari ini.

Iskandar Dzulkarnain dalam satu kenyataan, sebelum ini memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Hamzah bagaimanapun dilapor mendakwa tindakan Iskandar Dzulkarnain mengisytihar menyokong kerajaan kerana diugut seorang pegawai tertinggi sebuah agensi kerajaan.

Hamzah mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Iskandar Dzulkarnain daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak ada menelefon, bertemu atau berbincang dengan Anwar mengenai sokongannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pula dilaporkan berkata, dakwaan PN mengatakan pihaknya terlibat adalah jelas berniat jahat dan cubaan memburukkan imej.

Loading...
Terkini