comscore
Tumpuan :
Nasional

Tunku Azizah sedia 7 periuk bubur lambuk istimewa bersama warga Penjara Bentong

Tunku Azizah pada program Majlis Memasak Bubur Lambuk Tengku Ampuan Pahang Bersama Penjara Bentong. – FOTO: Ihsan Penjara Bentong

BENTONG: Banduan dan pegawai penjara Bentong semalam bertuah apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang terkenal dengan kebolehan memasak pelbagai hidangan, berkenan menyediakan juadah bubur lambuk resipi istimewa baginda untuk mereka.

Tunku Azizah dibantu 70 banduan wanita dan lelaki serta 50 pegawai penjara menyediakan tujuh periuk besar bubur lambuk yang kemudian diisi dalam 4,500 bekas.

Bagi Citra, 32 (bukan nama sebenar) dia begitu teruja dan berbangga apabila berpeluang menyediakan bubur lambuk bersama Tengku Ampuan Pahang yang terbukti memiliki kemahiran memasak juadah tradisional itu.

Menurutnya, sambil memasak Tunku Azizah berbual sambil memberi nasihat pada banduan yang terbabit dan ia pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

“Ini kali pertama saya berpuasa selepas memeluk Islam tahun lalu… hati saya kini begitu tenang selepas mendapat hidayah yang tidak disangka.

“Ini tahun kedua saya berada di penjara Bentong selepas dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun kerana kesalahan memiliki dadah,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Bagi Pegawai Penjara Bentong, Fadillah Mat Zain, kemesraan Tengku Ampuan Pahang dapat dilihat sepanjang program membuat bubur lambuk, yang mana banyak resipi memasak juadah berkenaan dikongsi.

“Tuanku sememangnya memiliki kemahiran memasak, tidak mustahil bubur lambuk resipi istimewa dihasilkan rasanya lebih sedap dan menarik.

“Saya berbangga dapat mengacau bubur lambuk bersama Tuanku, ia akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan,” katanya.

Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara, Mohamad Ismail pula berkata ia kali pertama Tengku Ampuan Pahang memasak bubur lambuk bersama banduan di penjara Bentong.

“Sebelum ini Tuanku (Tengku Ampuan Pahang) berkunjung ke penjara Bentong bagi meninjau bengkel Tenun Diraja Pahang, selain mengajar banduan wanita menyediakan kek di bengkel pastri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini