comscore
Tumpuan :
Nasional

UiTM sasar 65,000 bakal mahasiswa tahun ini

Oleh: Fahim Akasha Musa

SHAH ALAM: UiTM mensasarkan pengambilan sejumlah 65,000 pelajar bagi sesi kemasukan 2023/2024.

Melalui Ekspo Selangkah ke UiTM ESKU 2023 yang berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Jun 2023 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, pelajar akan diberi pendedahan tentang kursus pengajian yang ditawarkan.

Timbalan Pendaftar UiTM, Awangku Ashaari berkata, setiap fakulti yang mengambil bahagian bersedia membantu bakal mahasiswa meneroka minat mereka dalam bidang pengajian dan seterusnya potensi kerjaya pada masa akan datang.

“Pelajar yang sudah memohon di dalam sistem UPU boleh hadir bagi melihat kursus pengajian yang ditawarkan UiTM.

“UiTM menawarkan lebih 5 program Pra-Diploma, 5 program Asasi, 80 program Diploma dan juga 165 program Sarjana Muda.

“Pakar bidang setiap fakulti akan hadir demi membantu dan memberikan informasi yang tepat kepada bakal mahasiswa yang hadir.

“Kita menggalakkan bakal mahasiswa untuk bertanya soalan supaya mereka yakin dan percaya dengan pilihan program yang diminati.

“Kita berharap bakal mahasiswa menjadikan UiTM sebagai pilihan pertama.”

Ketika ditanya tentang pelajar yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan, Awangku berkata bahawa UiTM menyediakan platform lain iaitu Pra-diploma.

“Pra-diploma mempunyai 5 program iaitu, Pra-diploma perdagangan, Pra-diploma Agroteknologi, Pra-diploma Sains, Pra-diploma Sains (Aliran Stem C Dan Sastera) dan Pra-diploma Pengajian Islam.

“Ini adalah tempat untuk kita mengasah kelemahan di dalam subjek yang kita mahu perbaiki. Selepas mereka habis di dalam satu semester mereka akan dipilih untuk sambung ke aliran diploma yang mereka minati berdasarkan program Pra-diploma yang telah mereka pelajari,” katanya.

Selain di Shah Alam, UiTM turut mengadakan ekspo ini secara serentak di cawangan Johor, Perak, Sabah dan Sarawak.

ESKU 2023 diadakan setiap tahun sebagai langkah menarik pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UiTM dan mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan kursus pengajian yang ditawarkan UiTM.

Loading...
Terkini