comscore
Tumpuan :
Nasional

Umpan tawaran jadi calon PRU-15, ahli perniagaan rugi lebih RM32 juta

Sekumpulan ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk mendakwa mengalami kerugian lebih RM32 juta akibat diperdaya pengarah syarikat, ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru, di sini. FOTO: NSTP

BAYAN LEPAS: Seorang pengarah syarikat didakwa memperdaya sekumpulan ahli perniagaan menerusi kerjasama penubuhan parti politik baharu, Barisan Penyatuan Nasional (BPN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga menyebabkan kerugian hingga RM32 juta.

Selain sumbangan dana penubuhan BPN, ada dalam kalangan mereka turut mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan serta pinjaman wang dengan individu sama.

Seorang mangsa yang juga bekas calon Bebas di Melaka, Datuk Kamisan Palil, 38, berkata beliau bersama beberapa rakan berjumpa individu berkenaan yang konon meminta mereka bertanding di beberapa Parlimen di Melaka.

Individu itu berjanji segala kos akan ditanggung olehnya dan bagi persiapan pertandingan di Parlimen Jasin, beliau menggunakan wang sendiri RM150,000 sebagai pendahuluan.

(Tidak lama kemudian) Saya menghubungi individu itu semula namun semua panggilan tidak dijawab malah dia turut mengundur diri dalam semua grup aplikasi WhatsApp.

“Akibatnya, nama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diuruskan terpalit dengan kerjasama penubuhan parti BPN,” katanya ketika ditemui di sini.

Kamisan berkata, beliau turut hilang pendapatan sebagai pembekal kelapa muda disebabkan janji manis ditaburkan sebagai calon.

“Saya tidak puas hati dengan tindakannya dan bimbang orang lain menjadi mangsa penipuan lelaki ini membuatkan saya tampil membuat laporan polis,” katanya lagi.

Terdahulu, lima individu tampil membuat laporan menjadi mangsa penipuan seorang pengarah syarikat di Balai Polis Bayan Baru di sini, semalam.

Mereka mendakwa, lelaki bergelar Datuk itu menjanjikan peruntukan RM4.5 juta kepada setiap calon kerusi Parlimen.

Difahamkan seramai 160 calon terpedaya dengan individu itu membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM200,000 seorang.

Sementara itu, Mohamed Mahyuddin Tajuddin, 63, pula mendakwa beliau kerugian RM500,000 akibat diperdaya pengarah syarikat itu berhubung pencalonan di Hulu Selangor.

Beliau juga dilantik sebagai timbalan penaja BPN dan mengikut individu berkenaan ke seluruh negara bagi pelaksanaan kerjasama itu.

“Saya diminta bagi mengurus pelaksanaan serta melakukan kertas kerja beberapa projek yang dijanjikan namun selepas seminggu, dia memberi pelbagai alasan termasuk tidak boleh bertanding susulan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penubuhan parti berkenaan.

“Sehingga laporan ini dibuat, tiada sebarang rundingan dibuat berhubung perkara itu dan saya rasa diperdaya.

“Semakan juga mendapati bukan saya sahaja menjadi mangsanya malah orang lain turut berdepan situasi sama,” katanya.

Datuk Norhisham Nasrom, 40, pula berkata beliau kerugian hampir RM500,000 dipedaya menjadi calon Parlimen Bagan Serai, Perak.

Beliau percaya dengan kata-kata individu berkenaan susulan lelaki itu mendakwa berketurunan Kerabat Diraja Negeri Sembilan serta cicit Agong pertama.

“Pada masa ini, wang tidak menjadi pertikaian saya, ia lebih kepada maruah selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penyatuan Malaysia yang mana selama ini sudah banyak bantuan demi kesejahteraan rakyat saya lakukan.

“Saya juga tidak mahu orang lain menjadi mangsa penipuan individu ini kerana impaknya mengubah kehidupan sehingga ada dalam kalangan rakan kami yang muflis.

“Diharap mangsa lain turut tampil buat laporkan supaya siasatan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa,” katanya.

Loading...
Terkini