comscore
Tumpuan :
Nasional

UPSI mahu guna panel solar hasilkan elektrik

Foto : NSTP

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah Proton City di sini dijangka mampu menjimatkan sehingga RM13.5 juta melalui projek solar fasa pertamanya.

Ia dijangka dicapai sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun menerusi lapan kawasan pembinaan panel solar fotovoltaik ( PV) berkapasiti 3.24MWp di kampus universiti itu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata projek itu adalah hasil kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan strategik Synergy Generated Sdn Bhd ( SGSB).

Katanya, projek itu selaras dengan hasrat universiti yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan kerjasama antara UPSI Holdings dengan SGSB sejajar dengan objektif strategik UPSI ke arah pembangunan kampus pintar, digital, lestari serta mesra persekitaran.

“Projek pertama berkenaan bakal memberi manafaat dan penjimatan sebanyak RM13.5 juta malah pengurangan pelepasan gas karbon sebanyak 56,000 tan sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun,” katanya.

Kerjasama itu juga bakal membuka lebih banyak potensi penyelidikan, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan kepada graduan UPSI yang berminat menceburi bidang Bekalan Tenaga Boleh Baharu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) antara pihak UPSI dengan SGSB dan TNB serta surat tawaran antara SGSB dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Dewan Muallim Scholar’s Suites, malam tadi.

Perjanjian berkenaan bagi pelaksanaan pemasangan sistem solar di UPSI oleh SGSB dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn Bhd.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif SGSB, Datuk Wan Shaharuddin Wan Mahmood, Ketua Pegawai Pelanggan TNB, Nasaruddin Mohd Zaini serta Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Institusi Perbankan BIMB, Sharifah Sarah Syed Mohamad Tahir.

Ketika ini UPSI mencatat penggunaan bil elektrik sehingga RM11.6 juta setahun.

Loading...
Terkini