comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia kekal pendirian kembalikan hak rakyat Palestin 

 

KUALA LUMPUR: Perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, dikembalikan tanah dirampas dan membentuk negara merdeka serta berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Tambahnya, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian itu bagaimanapun hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta memenuhi teras-teras yang dinyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya ketika memaklumkan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Penduduk terpaksa meninggalkan kediaman berikutan serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza – Foto: Reuters

Zahid berkata, ketegasan dan kelantangan Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.

Katanya, Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 22 September lalu dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

“Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 1967.

Foto: Reuters

“Selain bantuan dari kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul dari sumbangan awam melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar,” tegasnya.

“Saya sesungguhnya amat berterima kasih atas sokongan berterusan dan keprihatinan daripada setiap Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai isu Palestin. Di dewan yang mulia ini, sering kali wujud percanggahan dan perbalahan antara pihak Kerajaan dan pembangkang untuk pelbagai isu.

Foto: Reuters

“Tatkala timbul isu Palestin, pasti dewan yang mulia ini bergegar dengan suara keramat kesemua Ahli-ahli Dewan menzahirkan solidariti bersama untuk Palestin. Kita menjadi satu, senada dan sehati sejiwa menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini