comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita hilang di Bukit Tabur ditemui selamat

Foto: Bomba

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 48 jam, seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian solo di Bukit Tabur, Jalan Kolam Air, Taman Melawati dekat sini, sejak kelmarin, ditemui selamat, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata mangsa, S Sangeeta, 26, ditemui oleh anggota mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.08 pagi.

Operasi SAR dimulakan sejak awal pagi semalam sebelum dihentikan pada jam 7 malam akibat faktor cuaca, dan disambung semula pada jam 7.30 pagi tadi.

“Mangsa ditemui selamat dan berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan pada kaki akibat terjatuh dari puncak bukit ke dalam gaung dengan kedalaman 30 meter.

“Anggota penyelamat kini dalam usaha membawa naik mangsa ke tempat selamat untuk diberikan rawatan awal seterusnya dibawa keluar dari lokasi,” katanya kepada BH, hari ini.

Norazam berkata, operasi SAR pada pagi ini dibahagikan kepada dua trek laluan iaitu Trek A diketuai seorang pegawai bomba bersama 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

“Trek B diketuai seorang anggota bomba dengan kekuatan 55 anggota termasuk Pasukan Multi Skill (MUST) bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hutan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung dan Gua (MOSAR).

“Operasi SAR turut dibantu dua anjing pengesan dari Unit K9 JBPM bersama empat pegawai serta Unit Dron,” katanya.

Terdahulu, Norazam memaklumkan pihak bomba menerima laporan kejadian pada jam 2.44 pagi semalam sebelum pasukan bomba dari BBP Ampang tiba di lokasi pada jam 3.18 pagi.

Katanya, mangsa dilaporkan mula mendaki Bukit Tabur dari Tabur East, pada jam 7 pagi, kelmarin.

Mangsa dikatakan sempat menghubungi adiknya memaklumkan bahawa dia tersesat sebelum menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini