comscore
Tumpuan :
Nasional

Zaki Yamani mohon maaf

KUALA LUMPUR: Zaki Yamani yang mendoakan agar nyawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ditarik, hari ini memohon maaf atas keterlanjurannya.

Menerusi hantaran di Twitter, Zaki yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 2007 mengaku kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini mengguris perasaan ramai pihak.

Foto : Tangkap layar Zaki Yamani / Twitter

“Mengambil perhatian ciapan YAB (Yang Amat Berhormat) PM (Perdana Menteri) @anwaribrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri-isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi, andai ciapan saya ini mengguris perasaan,” katanya pagi ini.

Kelmarin Twitter @Zaki_Yamani_ melalui satu ciapan, meminta agar nyawa Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang itu diambil supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot.

Dilabelkan oleh sesetengah pihak sebagai cara buruk dalam berkempen menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, isu itu berubah nada apabila Perdana Menteri menerusi hantaran di Twitter turut menyuarakan rasa kesal beliau terhadap tindakan @Zaki_Yamani_.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tegas Perdana Menteri.

Mengikut ciapan asalnya itu, @Zaki_Yamani_ turut menulis perkara sama terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loading...
Terkini