comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] GERAKAN mohon maaf atas kenyataan Mok berkenaan penjawat awam ‘membebankan’

KUALA LUMPUR: Parti GERAKAN hari ini secara terbuka memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap GERAKAN Pulau Pinang, Mok Kok On berkenaan penjawat awam baru-baru ini.Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong berkata pihaknya juga telah menyerahkan kes berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

“Biar mereka adakan prosedur yang betul, biar Mok ada hak bersuara dan mendengar. Sedikit sebanyak amaran keras telah saya berikan kepada dia (Mok), yang lain saya serahkan kepada Lembaga Displin. Saya akan bawa kes ini kepada Jawatankuasa Kerja Pusat kalau perlu. Kalau isu ini memang tidak ada penjelasan bagus atau munasabah (daripada Mok), kita akan gantung (keahlian dia),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, ketika sidang media permohonan maaf secara terbuka hari ini.

Mak menegaskan GERAKAN turut tidak bersetuju dengan perspektif yang dikeluarkan menerusi kenyataan Mok itu.

“Penjawat awam bukannya beban, sebaliknya tulang belakang negara, setiap kegiatan harian dan kemudahan umum serta kehidupan kita, memang berkait rapat dengan penjawat awam yang telah memberi perkhidmatan yang bagus dalam negara,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Mok dalam kenyataan di media sosial menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan, selain mempersoalkan tindakan kerajaan menambah jumlah penjawat awam.

Kenyataan itu yang kemudiannya segera dipadamkan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang menyifatkan kata-kata Mok menimbulkan kemarahan dan mengguris hati penjawat awam.

Tamat – BERNAMA.

Loading...
Terkini