comscore
Tumpuan :
Sukan

Azizulhasni mohon maaf terpaksa tarik diri acara pecut

Tumpuan Azizulhasni kini kepada proses pemulihan dan akan kembali menjalani latihan sebaik sahaja kembali cergas.

ADELAIDE: “Saya memohon maaf kerana tidak dapat melengkapkan perlumbaan, sekarang tumpuan saya ialah kepada pemulihan, dan saya akan meneruskan latihan sebaik sahaja saya kembali cergas”- itu ungkapan maaf jaguh basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang.

Azizulhasni menarik diri daripada perlumbaan penentuan pingat gangsa Sprint hari ini disebabkan mengalami gejala-gejala pericarditis selepas menamatkan saingan separuh akhir.

Pada pusingan kelayakan, Azizulhasni mendudukki tempat keempat kesuluruhan.

Kayuhannya makin bertenaga, mengatasi pelumba Colombia, Cristian David Ortega di peringkat 1-8 dan Azizulhasni terus cemerlang mengenepikan pula wakil Britain, Jack Carlin pada suku akhir.

Saingan separuh akhir Azizulhasni berdepan pelumba tuan rumah, Matthew Richardson.

Detik manis dijulang oleh dua pelumba Jepun,  Shinji Nakano (kiri) dan Ota Kaiya selepas Azizulhasni Awang meraih emas acara keirin UCI Track Nations Cup di Adelaide semalam.

Segalanya tampak tidak menyebelahi Azizulhasni apabila tewas pada perlumbaan pertama dan walaupun cuba memberi saingan, Azizulhasni nyata tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya, membolehkan Richardson mara ke final menerusi kemenangan 2-0.

“Saya berjumpa doktor dan dinasihatkan untuk berundur daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan tekanan jantung saya berlebihan. Walaupun menghadapi cabaran, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan Keirin semalam dan saya telah memberikan yang terbaik dalam pecut hari ini,” kongsi Azizulhasni menerusi laman media sosial peribadinya.

Azizulhasni terpaksa melepaskan peluang untuk menaiki podium apabila menarik diri pada perlumbaan penentuan gangsa berdepan seorang lagi pelumba tuan rumah, Matthew Glaetzer.

Apapun pujian buat Azizulhasni dengan kejayaan emas acara Keirin dan mara ke separuh akhir acara pecut meskipun turun ke gelanggang dengan masalah kesihatan yang dihadapi.

“Terima kasih semua atas pemahaman dan galakan anda, ” ujar Azizulhasni.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini