comscore
Tumpuan :
Negeri

Tindakan Wanita, Anak Terjun Ke Laut Mungkin Akibat Masalah Keluarga – Polis

Foto: HARIAN METRO

JOHOR BAHRU : Wanita yang dipercayai terjun bersama anak lelakinya ke dalam laut dekat Danga Bay berhampiran Country Garden di sini, petang semalam, dipercayai meninggalkan nota kepada suaminya.

Nota berkenaan ditemukan suaminya yang berusia 40-an di rumah mereka di luar daerah ini, sebelum bertindak mencari mangsa.

Walaupun tidak menyatakan lokasi tetapi pencarian suami mangsa akhirnya menemui kereta mangsa yang ditinggalkan kira-kira satu kilometer daripada selipar dua beranak itu ditemui.

“Siasatan awal menjumpai dua pasang selipar di tepi tebing belakang sebuah projek pembinaan dan disahkan milik kedua-dua mangsa.

“Kereta mangsa didapati diletakkan di parkir bahagian hadapan sebuah restoran dekat Danga Bay kira-kira satu kilometer dari selipar dijumpai,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca suri rumah dan anak lelakinya terjun ke dalam laut itu dipercayai akibat masalah dalaman keluarga.

Ditanya mengenai kesihatan wanita berkenaan, Jit Huey berkata, pihaknya sudah merujuk kepada pihak hospital bagi mendapatkan laporan latar belakang atau sejarah kesihatan mangsa.

Semalam, dua beranak, Chai See Far, 37, dan Lee Meng Xhun, 16, dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam laut dari tebing setinggi 9.14 meter di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, sehingga kini operasi masih diteruskan bagi mencari See Far yang masih hilang, manakala mayat Meng Xhun ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.30 malam kira-kira lima meter dari selipar mereka ditemui.

Jit Huey berkata, operasi dijalankan pasukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor serta dibantu nelayan-nelayan tempatan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini