comscore
Tumpuan :
Politik

Ahmad Maslan Sahkan Dilantik Sebagai Setiausaha Agung BN

Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta merta.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO, menjelaskan pelantikannya itu bukan bermakna Annuar dipecat sebaliknya digantikan.

“Beliau (Annuar) tidak dipecat, beliau digantikan. Biasanya Setiausaha Agung UMNO ialah Setiausaha Agung BN. Saya kira itu antara sebabnya. Saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung MN (Muafakat Nasional).

“Saya ingin tegaskan ia adalah menggantikan. Presiden ada sebut tadi, perkataannya adalah ‘saya mengganti tugas beliau (Annuar) itu’,” kata Ahmad ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan khas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad enggan mengulas dakwaan bahawa perubahan jawatan berkenaan adalah disebabkan Annuar kononnya tidak menghormati presiden parti dan berpihak kepada BERSATU, lapor Bernama hari ini.

Terdahulu Tan Sri Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung BN.

Dalam satu tangkap layar WhatsApp yang dikongsi di Twitter beliau sebentar tadi, Annuar menjelaskan beliau dimaklumkan mengenai berita pemecatan daripada jawatan itu menerusi media.

“Saya diberitahu oleh media saya dipecat sebagai SUA (Setiausaha Agung) BN dan SUA MN (Setiausaha Agung Muafakat Nasional).

“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini.

“Selamat maju jaya DS Presiden,” katanya dalam WhatsApp itu yang difahamkan dikirimkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga memaklumkan untuk tidak memberi sebarang ulasan berhubung pemecatan itu buat masa ini.

Loading...
Terkini