comscore
Tumpuan :
Politik

Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab, letak jawatan – Idris Jusoh

Idris (kiri) dan Ahmad Zahid (kanan). Foto: NSTP.

KUALA TERENGGANU: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab di atas prestasi buruk dipamerkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) semalam.

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menerusi satu hantaran ringkas di laman sosial Facebook turut menggesa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu meletak jawatan tertinggi yang disandangnya di dalam parti itu.

“UMNO kalah teruk di PRN semalam, UMNO kalah 100 peratus di Terengganu, (Ahmad) Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” tulisnya.

PRN yang berlangsung di enam negeri semalam memaparkan prestasi terburuk BN apabila hanya memenangi 19 kerusi dewan undangan negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandinginya.

Kerusi yang dimenanginya itu ialah 13 kerusi di Negeri Sembilan, Selangor empat kerusi dan masing-masing satu kerusi di Pulau Pinang dan Kelantan.

Di Kedah dan Terengganu, tiada kerusi diperolehi BN.

Ini termasuk dua kerusi yang disandang bekas Menteri Besar Terengganu iaitu di DUN Kijal (Datuk Seri Ahmad Said) serta Seberang Takir (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman) dan merupakan antara 10 kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) Terengganu menang bergaya apabila menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN di negeri itu.

Loading...
Terkini