comscore
Tumpuan :
Politik

Belanjawan Johor 2023 dibentang Khamis ini

JOHOR BAHRU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dijadualkan bermula Khamis ini dengan pembentangan Belanjawan Johor 2023.

Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali, berkata persidangan DUN Johor sesi kali ini akan berlangsung selama tujuh hari.

“Sidang DUN Johor akan bermula Khamis ini dengan pembentangan Belanjawan Johor 2023 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Ia akan diikuti dengan sesi soal jawab dan perbahasan pada Ahad sehingga Selasa depan dan sesi penggulungan setiap portfolio pula bermula Rabu dan Khamis.

“Sidang DUN Johor akan diakhiri dengan sesi penggulungan Belanjawan Johor 2023 oleh Menteri Besar pada 11 Disember.

“Notis pemaklumkan semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai persidangan dewan juga sudah dihantar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, Samsolbari yang juga ADUN Semarang dan Setiausaha UMNO Johor dilaporkan mengesahkan Sidang DUN Johor bagi pembentangan Belanjawan negeri yang dijadualkan pertengahan bulan ini, ditangguhkan, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, penangguhan itu perlu dilakukan berikutan semua Ahli Dewan akan terbabit secara langsung dalam PRU-15 menerusi parti masing-masing.

Pembentangan Belanjawan Negeri 2023 adalah kali pertama buat kerajaan negeri di bawah pentadbiran Onn Hafiz.

Ia selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga; manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Kerajaan Johor sebelum ini adalah kerajaan campuran disokong BERSATU yang memiliki majoriti tipis dengan majoriti satu kerusi,iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Loading...
Terkini