comscore
Tumpuan :
Politik

BN kemuka 155 nama calon PRN Kelantan

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman.

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan menghantar sebanyak 155 nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Zawawi Othman berkata ia membabitkan tujuh nama bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Daripada jumlah berkenaan, kita menampilkan 70 hingga 80 peratus sebagai calon baharu dan seterusnya bergantung kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya.Calon baharu ini pula kebanyakan adalah golongan muda yang melebihi 50 peratus daripada keseluruhan calon yang akan bertanding.

Kita mengemukakan calon muda kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk bertanding sekali gus memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata nama calon yang dihantar itu kebanyakannya adalah golongan muda yang mempunyai kebolehan dan dikenali serta boleh diterima di kawasan mereka. Pada masa sama, turut ditampilkan lapan nama calon wanita untuk dipertimbangkan selain memberi peluang kepada golongan wanita.

“Saya harap rakyat Kelantan memberi peluang kepada calon kita dengan mengundi mereka sekali gus dapat memastikan BN serta PH menjadi satu gabungan yang kuat dalam membawa suara rakyat, selain memikul tugas semak dan imbang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pembahagian kerusi bagi PRN Kelantan memutuskan 14 kerusi akan ditandingi calon Pakatan Harapan (PH) dan 31 kerusi lagi untuk calon BN.

Loading...
Terkini